Sejarah Sekolah

   Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Paoh telah ditubuhkan pada tahun 1967. Pada mulanya sekolah ini diberi nama Sekolah Menengah Kerajaan Sarikei. Sekolah ini telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Abang Haji Openg, Gabenor Negeri Sarawak pada masa itu. Pengetua yang pertama ialah Encik Lau Siew Pang.

   Pada peringkat awal, sekolah ini hanya menawarkan pendidikan dari Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 3 sahaja. Pada permulaan bilangan pelajar hanyalah kira-kira 100 orang dan tenaga pengajar 5 orang. Pada tahun yang seterusnya penambahan pelajar semakin banyak dan ini mendorongkan pembinaan bangunan blok B, blok C dan blok D yang masih tersergam sampai sekarang.

   Pada tahun 1979, semasa Encik Madihi Bin Rapiee menjadi pengetua, bangunan baru dan berek baru telah dibina untuk menampung jumlah pelajar dan tenaga pengajar yang semakin meningkat.

   Pada tahun 1984, kelas untuk pelajar Tingkatan 4 aliran sastera telah dibuka. Selepas 2 tahun, iaitu 1986, kelas untuk pelajar aliran sains telah dibuka. Pada tahun ini juga nama sekolah ditukar kepada Sekolah Menengah Kerajaan Sungai Paoh. Nama ini diambil sempena nama sebuah sungai yang mengalir berdekatan dengan sekolah ini. Mulai tahun 1986, bilangan pelajar semakin bertambah. Pelajar aliran sains dari Matu-Daro dan Belawai. Pada tahun 1987, pelajar aliran sains menduduki peperiksaan SPM untuk kali pertama. Pada tahun 1987, makmal sains telah diubahsuai.

   Pada tahun 1991, lagu sekolah telah dicipta oleh Encik Zamhari Bin Mostapha. Mulai tahun 1997, semua blok bangunan sekolah dan asrama telah dinaiktaraf. Kerja naiktaraf termasuk menukar bumbung asbestos kepada spandex, menukar dinding papan lapis dan asbestos kepada konkrit, menukar cermin tingkap kayu kepada cermin tingkap kaca, mengubahsuai tempat mandi dan tandas di asrama. Dewan makan dan makmal sains junior dan senior telah diubahsuai. Pada tahun 1999, sebuah makmal komputer telah disediakan untuk menampung penambahan bilangan ahli kelab komputer.

   Dalam rancangan tahun 2002-2003 adalah pembinaan 12 unit rumah guru dan seunit rumah pengetua yang baru. Atas usaha pengetua-pengetua yang berkhidmat di sekolah ini mulai tahun 1967 sehingga sekarang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Paoh telah menjadi sebuah institusi yang semakin maju, indah dan ceria.

Senarai Pengetua SMK Sg. Paoh
No. Nama Pengetua Tahun Berkhidmat
1 Encik Martin Lau Siew Pang     1967-1968
2 Encik Paul Teo 1968-1970
3 Encik Wong Chii Chong 1970-1974
4 Encik Lau Su Ing 1974-1975    
5 Encik Mak Koon Kong 1975-1979
6 Encik Madihi Bin Rafie 1979-1981
7 Encik Kassim Bin Akup 1982-1985
8 Encik Linton/Jerah Britten 1986-1989
9 Encik Jeniri Amir 1989-1990
10 Puan Aminah Hj. Sapawi 1990-1992
11 Encik Wong Ming 1993-1994
12 Encik William Baja Jab 1994-1996
13 Puan Wong Leh Ting 1996-2005
14 Encik Liong Shou Chuan 2005
15 Puan Lau How Ting 2006-Sekarang



Visi

Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang


Misi

Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti

 
 Lagu Sekolah
 Kamilah Penuntut SMK Sg. Paoh Sarikei
Berusaha, belajar, bekerja penuh azam di dada
Mencari didikan, pengetahuan pedoman masa tua,
Berbakti, berjasa, berjaya.

Dari hulu, hilir, selatan, barat, timur, utara,
Kami datang dengan harapan hasrat cinta membara,
Menjadi anak watan belia putera puteri negara,
Generasi muda satria.

Semangat bersatu muhibah serta bertoleransi,
Tersemai di hati nubari tetap kita amali,
Perit getir susah sengsara dihadapi bersama,
cekal tabah pasti berjaya.

Pada ibu bapa, keluarga serta guru tercinta,
Teguran, ingatan didikan tidak akan dilupa,
Bersama berusaha belajar dengan semangat jaya,
Pasti kita akan berjaya.